Tuesday, October 4

Tanpa Esok

Pusingan kehidupan memanglah macam itu; adakala kita tinggi di atas, adakala kita di bawah terjelepuk makan tanah. Ya mungkin.. mungkin kerana dosa ataupun alpa, kita diuji Allah dengan ujian yang dahsyat (bagi kita dahsyat kot walaupun orang lain tak rasa yg sama), tapi the essence nya ialah kita diberi peluang oleh Allah azzawajalla. Ya, satu peluang yang mungkin tak diberi kepada makhluk yang lain yang juga sama seperti kita yang bernama manusia. Satu peluang yang mungkin tidak diberi pada para petualang yang lain seperti kita kerana menyia-nyiakan nikmat-Nya. Satu peluang yang bernama taubat.


Mungkin satu ketika dahulu, kita berada di puncak sana, melihat indah matahari terbit di ufuk awan, bermandi sinaran pagi yang mempersonakan angan dan fikiran. Jingga meliputi segenap ruang minda, malahan kesegaran dan kedinginan udara embun pagi cukup memukau jiwa dan perasaan. Kicauan burungan dan kehangatan pelukan mentari bisa buat kita terkambus dalam angan-angan yang tak henti. Terkadang kita boleh jadi lupa akan jiwa kita sebagai hamba, kita mungkin terlupa membasahi bibir dengan pujian dan syukur pada Tuhan yang memberi kita seadanya.

Kejayaan yang mendatang satu ujian, bahkan kejatuhan seseorang itu juga satu ujian. Setiap dari apa yang dikurniakan itu, akan diuji. Anak dan isteri juga barang ujian sedangkan kita dalam keadaan terlupa akan hakikat ini. Anak yang comel dan merap dengan kita, adakah mampu kita tinggalkan demi menunaikan ketaatan kepada Allah? Isteri yang cantik dan manja yang baru dinikahi sebulan dua, adakah mampu kita tinggalkan demi menyahut seruan dalam pengabdian diri padaNya?

Bapa kita, Ibrahim a.s. contoh terbaik yang perlu kita garap kekuatan dari kisah pengorbanannya meninggalkan bayi Ismail dan isterinya Hajar di tengah kontang padang pasir. Jujurlah pada diri, ayah yang terlambat mengambil anaknya dari sekolah pun pasti dimarahi isterinya sedangkan sekolah itu lengkap dengan pagar dan 'guard'nya, ini pula diperintah Allah untuk meninggalkan dua insan yang paling disayangi di tengah-tengah harshness of desert dengan tiada air dan tiada tujuan. Menangis teresak Hajar mengejar suaminya, tetapi lantaran Ibrahim menyatakan ini perintah Allah, Hajar terus menerimanya sebulat hati.

Itulah kemaksimaan pengorbanan seorang hamba, dalam memenuhi kehendak Pemiliknya. Dari suami hingga ke isteri yang memahami hakikat kehidupan fana ini, tentang hakikat kejadian dirinya. Dan kekuatan itu tidaklah datang melainkan hadir dari kehendak Yang Maha Kuasa. Kekuatan untuk berserah tatkala ia rebah mahupun ketika berada di puncak dunia.

Ketika sudah selesai membina rumah Allah pertama di dunia, fikiran dan perasaan mereka terus beralih pada Tuhan mereka, mereka risau samada Allah akan menerima atau tidak amalan mereka, sehingga mereka berdoa, 'ya Allah, terimalah dari kami amal kami'. Terkadang kita ketika bersembahyang di shopping mall, dalam keadaan tergesa dan melewatkan solat, apa kita tidak terasa adakah Allah menerima ibadat kita tadi atau tidak? Ataupun dalam keadaan kita menunaikan fardhu Subuh di masjid, apakah kita merasakan amalan kita diterima Allah? Pernahkah kita berdoa dan berharap agar ia diterima Allah?

Beringatlah hari esok mungkin hadir, tapi mimpi kita belum tentu lagi. Roda kehidupan akan terus diputar dan dimainkan dalam ketaatan mahupun kealpaan. Tujuh syurga menanti kita di akhirat sana yang pasti berlaku tak kira kita mendustai kehidupan ini atau kita menuruti perintah Pemilik sekelian alam. Tujuh syurga juga disediakan pada mereka yang berdosa dan bertaubat.

Tanpa dosa, masakan seseorang mampu bertaubat?
Tanpa esok, ranaplah peluang tamatlah riwayat.


No comments: