Tuesday, March 22

Nut and Bolt - Bait al-Muslim

tulisan menarik oleh akhi Ahmad Fairuz Abidi (AFA) dari Bath, United Kingdom.



Salam wbt.

Jam tepat menunjukkan pukul 11.00pm. Letih dan penat. Saat ini, tiada apa lagi yang saya ingini melainkan melabuhkan badan yang sengal-sengal ini ke atas tilam yang empuk dan diselimuti dengan duvet yang panas dan tebal. Aktiviti yang padat sepanjang hujung minggu ini benar-benar membuatkan lenguh satu badan. Selesai menunaikan solat, badan yang lenguh-lenguh in terus direbahkan ke atas katil besi yang sedia terhidang itu.

Mata dipejam dan doa tidur pun dibacakan. Cuba melelapkan mata, namun gagal. Mengiring ke kiri, mengiring ke kanan, amat sukar untuk tidur. Lalu saya alihkan pandangan menghadap siling. Aneh sekali. Selalunya mudah sekali untuk diri lelap di atas katil ini, tambahan pula dengan kepenatan yang amat sangat. Setelah cuba mencari punca permasalahan tersebut, barulah diketahui si 'pengkhianatnya'. Nut dan bolt di katil yang longgar menyebabkan katil besi yang agak berusia ini bergoyang-goyang lain daripada kebiasaannya.

Lampu bilik dibuka dan segera saya capaikan spanar untuk mengetatkan nut dan bolt itu. Selepas ianya selesai, saya menguji kekuatan katil itu dengan menggoncangnya untuk memastikan ianya tidak bergoyang lagi. Lampu pun dipadamkan semula fikiran mula melayang memikirkan kisah nut dan bolt tadi.

"Wah, penting juga nut dan bolt ni. Kalaulah tiada kedua-duanya, pasti katil ini tidak dapat didirikan."

"Kalau tiada nut dan hanya ada bolt, katil masih dapat didirikan namun strukturnya tidak kukuh dan stabil. Mungkin akan roboh kalau budak kecil melompat atas katil ini. Maksudnya, nut ini mengikat bolt untuk mengukuhkan struktur katil besi ini supaya dapat menampung beban manusia yang baring diatasnya dengan sempurna dan selamat.

Ikhwah dan akhawat yang saya hormati sekalian,

"Behind every man's success, there is a woman."

Mungkin ramai di kalangan anda seringkali mendengar ungkapan berikut. Mungkin ada yang bersetuju, dan mungkin ada yang tidak bersetuju. Yang lebih mengejutkan saya, dalam Al-Quran, Allah ada berfirman:

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. [An-Nur, 24: 32]

Antara faedah berkahwin adalah diberikan nikmat kekayaan dan rezeki yang melimpah-ruah oleh Allah swt. Maka, ungkapan English yang saya kemukan itu hampir bertepatan dengan apa yang dijanjikan oleh Allah swt sekiranya wanita yang dibelakang lelaki itu adalah isterinya.

Berbalik kepada kisah nut dan bolt yang saya ceritakan tadi, ingin saya umpamakan bahawa:

wanita=nut
lelaki=bolt
Islam= katil

Wanita adalah umpama nut yang mengikat (bolt) lelaki-lelaki yakni suaminya, mendekatkan diri mereka berdua erat memegang risalah Islam. Sifat seorang lelaki diciptakan oleh Allah untuk memimpin. Maka, bolt sangat memainkan peranan penting untuk menentukan struktur mana yang ingin dikukuhkan, samada almari buku, rak kasut, ataupun meja. 

Dalam contoh yang ingin saya bawakan, saya samakan bahawa seorang lelaki Muslim yang telah mengikuti tarbiyah yang bercirikan tarbiyah Rasulullha saw, seperti sebatang bolt yang digunakan untuk mengukuhkan struktur sistem Islam, yakni mendirikan katil agar tidak bergoyang agar katil tersebut dapt digunakan untuk menampung manusia yang baring diatasnya.

Namun, bolt itu tidak boleh bersendirian dalam mendokong bebanan dakwah, yang saban hari semakin mencabar. Maka perlunya kepada penggunaan nut untuk mengetatkan atau men'tsabat'kan lelaki yang berjuang menegakkan kalimah Islam di muka bumi ini.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا
Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. [An-Nisa, 4:1]

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. [Ar-Rum, 30:21]

Rakan-rakan sekalian,
cuba anda bayangkan apa yang bakal terjadi sekiranya nut dan bolt itu tidak sama dari segi saiznya? Bergunakah nut dan bolt itu andai salah satu daripadanya besar daripada yang lain?

الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ أُولَئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. [An-Nur, 24:26]

Dalam ayat di atas Allah ada menjanjikan bahawa lelaki dan perempuan yang baik lalu sama-sama mendirikan rumahtangga, maka akan memperoleh pengampunan dan pengurniaan yang mulia dari Allah swt.

"Saya mengizinkan untuk ikhwah berkahwin dengan mana-mana wanita pilihan hatinya, tetapi sila pastikan wanita tersebut adalah akhawat!"
[Abdul Azim Ismail, Mac 2011]

Maka, marilah sama-sama kita mencari bolt atau nut yang sama saiznya dengan kita supaya kita dapat mengetatkan lagi saf barisan dakwah kita dalam memperjuangkan kalimah tauhid di bumi ini. Kepada ikhwah, mana yang merasakan boltnya bengkok, anda masih mempunyai masa untuk memperbetulkannya. Bagi yang sudah pun mampu mendirikan Islam di dalam dirinya, carilah nut yang sesuai untuk membantunya agar tidak tersungkur dalam menghadapi cabaran yang mendatang.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, sabda Rasululah saw:
Seorang wanita itu, jika ia menyempurnakan solat lima waktunya, berpuasa pada bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya, serta mentaati suaminya nescaya dia akan masuk ke syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.

Ibn al-Aswad AI-Dualy berkata kepada isterinya:
‘Apabila kamu melihat aku marah, tenangkanlah aku. Apabila aku melihat kamu marah, aku pula menenangkan kamu. Jika tidak janganlah kita bersama-sama. ‘

Harap ianya bermanfaat untuk anda semua. Sekian dahulu dari saya. Mohon maaf atas salah dan silap.

Wallahu'alam,
AFA

No comments: