Thursday, April 22

Merangkak menuju maghfirahMu

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَمَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا أَنْتَ

Allahumma anta Rabbi la ilaha illa anta, Anta Khalaqtani wa ana abduka, wa ana 'ala ahdika wa wa'dika mastata'tu, A'udhu bika min Sharri ma sana'tu, abu'u Laka bini'matika 'alaiya, wa Abu Laka bidhanbi faghfirli innahu la yaghfiru adhdhunuba illa anta


(O Allah! You are my Lord! None has the right to be worshipped but You. You created me and I am Your slave, and I am faithful to my covenant and my promise as much as I can. I seek refuge with You from all the evil I have done. I acknowledge before You all the blessings You have bestowed upon me, and I confess to You all my sins. So I entreat You to forgive my sins, for nobody can forgive sins except You.)


Ya Allah, kaulah Tuhanku. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Engkau menciptakanku dan akulah hambaMu. Aku berada dalam perjanjianMu serta setia padaMu, yang akan kulaksanakan dengan segala kemampuanku. Aku berlindung padaMu dari segala dosa yang telah aku lakukan. Aku mengakui nikmatMu yang Kau curahkan padaku, dan aku mengakui segala lautan dosaku. Maka ampunilah aku kerana tiadalah sesiapa pun yang mampu mengampunkan selain Engkau.


(dipetik drpd doa Ma'thurat)



Di setiap hela nafas, setiap degupan jantung, setiap gerak geri, setiap tutur kata, setiap lintasan hati, setiap pandangan mata, setiap bayangan fikiran, tidak pernah tidak, kita akan terlepas daripada melakukan dosa, walau sekecil-kecil zarah.


Ketika diri melakukan kebaikan, terkadang terasa 'ah, bagus aku buat ni, orang lain tak buat pun'. Ketika berkorban demi kebenaran, hati berkata 'hmm, aku sorang je la yang buat ni, thanks laa'.
Ketika terasa diri beriman, bermonolog diri 'Hisham, ko terbaik aaa, ko memang layak ke syurga'.
Ketika bersujud menangisi dosa, syaitan berbisik 'bagusla, Allah dah ampunkan dosa kau. ko tunggu laa.'


Sedangkan ketika melakukan kebaikan pun kita masih berdosa, sengaja hati busuk ini meng'up'kan diri sendiri sedangkan sebenarnya yang menjayakan sesuatu perkara itu ialah Allah.
Sedangkan ketika berkorban dalam berjuang pun masih berdosa, hati kotor ini mendesak diri bersimpati serta menyalahkan orang lain sedangkan sesuatu amalan itu sepatutnya untuk Allah semata.
Sedangkan ketika terasa diri beriman itu masih berdosa, tidak pernah layak seseorang itu untuk masuk ke syurga sedangkan Rasulullah bangun malam sehingga bengkak kaki ditanya 'Aisyah kenapa begitu ya Rasulullah bukankah engkau ini kekasih Allah? Jawab Baginda, salahkah untuk aku bersyukur?
Sedangkan ketika malam itu sayu mendengar tangisan hamba Allah yang membersihkan hatinya, syaitan itu masih menyerangnya dari depan belakang atas atau bawah, siang menjelma, syaitan muncul kembali mengekori tiap gerak geri mencari peluang mendosakan kita.


Dalam menulis blog di pagi hening ini, terasa diri ini, apakah blog ini untuk menarik perhatian manusia kepada diri, atau menyeru manusia kembali pada Tuhan?


Ya Allah, ampunkanlah aku serta keluargaku serta mereka2 yang menuju kepadaMu..


merangkak menuju maghfirahMu,
Hisham Mahir

Tuesday, April 20

Bayangkan....

Bayangkan masa kat Padang Mahsyar nanti kita tak ada penaung. Manusia yang ketika itu berbogel tak berpakaian, tak ada rasa sedikit pun even nak jeling dekat orang lain, apatah lagi nak pandang lama-lama. Masa kat dunia, yang bertudung pun kalau muka lawa sikit, kita rasa nak pandang, biar la dia berhijab labuh ke, masa kat akhirat tak terasa nak pandang pun sebab apa?

Sebab apa? Sebab kita takut. Cuba ingat balik, masa kita tengah tunggu result SPM or A-Level or even result Exam Uni ni kan, time tu la masa yang paling panjanggggggg sekali dalam hidup kita, rasa tak senang, nak tidur pun susah, terbayang-bayang sampai terbawak-bawak dalam mimpi. Takut nya dapat result yang teruk.

Apatah lagi dekat depan Allah di Padang Mahsyar nanti, tunggu betul Final Result kita. Exam kita yang berjalan sepanjang hidup ni, akan diumum resultnya pada hari tu lepas berpuluh ribu juta tahun tunggu dalam barisan tenggelam dalam peluh2 busuk akibat panasnya matahari sejengkal atas ubun kepala kita. Terseksa dan terus terseksa menanti result kita. Tak rasa takut?

Tak ada lah sesiapa pun dapat menaungi/menolong kita ketika itu. Kalau di dunia, kala kesempitan wang JPA/Mara lambat masukkan elaun, kita mampu meminta pinjam rakan/parents. Ketika di sana kita tak mampu, tak berdaya meminta tolong sesiapa pun. Hopeless. Helpless. Pernah kan korang terasa satu ketika dalam hidup korang, korang tak berdaya nak buat apa-apa pun.

Bayangkan rasa itu, dalam jangka masa berpuluh ribu juta tahun menunggu result kita. Tak tahu lulus ataupun fail. Lulus, gi la syurga, tak lulus, kena heret kena lempar masuk neraka lepas terseksa lama semasa tunggu result tu, lepas kena bantai dalam kubur. Tak mampu buat apa-apa kecuali mereka-mereka yang dinaungi Allah S.W.T.

Sapakah mereka?

RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya:

Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah:

Pemerintah yang adil,

pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya (ubudiah),

orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid,

dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah,

orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: Aku takut kepada Allah!,

orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya,

dan orang yang mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.


(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Bagaimana kita nak capai ciri-ciri ini? Hanyalah melalui usrah dan tarbiyyah yang berpanjangan dan berkesan sehingga ke akhir hayat. Kenapa usrah dan tarbiyyah? Kerana cara inilah Rasulullah melahirkan para sahabat yang dijanjikan syurga, para syuhada', para solihin, para mukminin. Tanpa tarbiyyah yang penuh ranjau dan dugaan, tanpa jiddiyah kesungguhan yang istiqamah, tanpa keimanan yang sahih, tak mungkin insan-insan yang istimewa di hadapan Allah kerana ketaqwaan mereka ini, memiliki ciri-ciri yang disebut akan dinaungi Allah.

Allah berfirman: "Ini adalah suatu hari yang bermanfa'at bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka. Bagi mereka surga yang dibawahnya mengalir sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; Allah ridha terhadap mereka dan merekapun ridha terhadap-Nya Itulah keberuntungan yang paling besar".

Muhasabah, dan terus muhasabah.

Pesan ini pada diri. Pesan ini pada diri. Pesan ini pada diri.

Semoga Allah mengampunkan lautan dosa ini.

Friday, April 16

saifulislam.com : Solat Jenazah di Funeral Home

 “Kami mahu menjemput Imam untuk solat jenazah di Funeral Home!” kata pegawai polis tersebut.
 
Bingung.
 
Solat jenazah.
Di Funeral Home?
 
Saya kehairanan.
“Siapa yang meninggal dunia?” saya bertanya.
 
“Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun” jawab pegawai polis itu.
 
“Baiklah. Saya panggil beberapa orang lagi dan kita berangkat 10 minit lagi” saya bersetuju.
 
Tengah hari itu saya berjaya mengumpulkan kira-kira 7 orang  jemaah masjid. Kami bertolak ke Funeral Home itu dengan sebuah kereta limosin hitam yang disediakan oleh pihak gereja. Di sepanjang perjalanan, saya masih tidak jelas dengan majlis yang bakal kami hadiri.
 
Perjalanan ke Funeral Home yang terletak di pinggir Belfast Selatan itu tidak memakan masa yang panjang. Kelihatan di perkarangan bangunan, banyak kereta dan orang ramai yang berpakaian hitam.
 
Suasana diselubungi kesedihan.
Pegawai polis yang membawa kami, memperkenalkan saya kepada seorang wanita Irish. Beliau berusia dalam lingkungan akhir 20′an.
 
“Oh, inikah Imam tersebut?” tanya beliau.
“Ya. Perkenalkan, Mr. Hasrizal” kata pegawai polis itu kepada wanita tersebut.
“Oh, terima kasih Mr. Imam. Saya Jenny, ibu kepada Mary” beliau memperkenalkan diri kepada saya.
Saya perasan yang Jenny tidak menghulurkan tangan untuk bersalam. Bagus sekali.
“Maafkan saya. Saya menumpang sedih atas kematian anak puan. Bagaimana semua itu berlaku?” saya bertanya.
“Entahlah. Kami bangun pagi dan Mary sudah pun meninggal dunia di dalam tidurnya” kata Jenny.
Sungguh tragis. Seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang sihat, tiba-tiba ditemui meninggal dunia di dalam tidurnya. Saya segera teringatkan Saiful Islam yang masih kecil di rumah. Sesungguhnya setiap hari anak kita berjaya bangun daripada tidurnya dan bernafas, ia adalah anugerah Allah buatnya dan buat kita. Setiap hari adalah survival. Terasa benar betapa fragile seorang bayi. Betapa perlunya ibu dan bapa memberikan kepadanya sebaik-baik penjagaan.
“Perkenalkan ini Mustafa, suami saya!” kata Jenny.
Saya menghulurkan tangan beriringan dengan senyuman.
Mustafa berpaling ke arah lain. Enggan bersalaman dengan saya.
Saya agak terkejut. Terkejut dengan penampilannya yang rugged dan beranting-anting. Terkejut kerana namanya Mustafa, seorang Muslim dari Algeria . Terkejut kerana dia enggan bersalaman dengan saya. Terkejut kerana isterinya yang Jenny itu pula yang mengusahakan kedatangan saya dan rombongan masjid untuk menyembahyangkan jenazah anak mereka, Mary.
“Maaf saya, Imam. Dia kesedihan” kata Jenny.
“Tak mengapa. Saya juga kalau berada di tempatnya, pasti sedih dan sukar untuk berkelakuan biasa” saya menjawab.
“Saya seorang Katholik. Tetapi saya mahu Mary disembahyangkan sebagai seorang Muslim. Saya yang menghubungi pihak polis meminta mereka mencari masjid dan Imam” jelas Jenny lagi.
Perlahan-lahan saya dan jemaah masjid melangkah masuk ke dewan. Saudara-mara mereka sudah memenuhi dewan. Sesungguhnya ia merupakan suatu pengalaman baru yang sungguh menguji keyakinan diri saya. Tidak pernah saya membayangkan boleh berada di dalam suasana seperti ini, suatu hari nanti.
Saya berdiri di sisi keranda.
Seorang anak kecil tidak seperti sekujur mayat.
Wajahnya ada senyuman.
Rambut dipintal cantik.
Baju gaun putih sungguh berseri.
Saya hampir terlupa, anak kecil yang ‘tidur’ itu telah tidur yang tidak akan menjengah pagi. Pergi tak kembali.
Sebak dada menahan mata yang semakin berkaca.
“Tidurlah sayang. Allah mengasihimu” saya berbisik perlahan.
Keranda kecil itu kami betulkan posisinya agar bertepatan dengan Kiblat. Cuba mencari ruang yang bersih daripada patung Jesus dan gambar-gambar yang tidak kena untuk berada di hadapan kami yang mahu mengangkat Takbir.
Saya, Jamal, As’ad, Ahmad dan beberapa orang lagi jemaah Masjid yang hadir mengerjakan solat jenazah untuk melunaskan hak anak kecil itu ke atas kami. Semoga anak itu berehat di alam sana . Saya terkilan kerana ayahnya, Mustafa, enggan menyertai solat jenazah kami ke atas anaknya yang ‘ malang ’ itu. Beliau hanya duduk bersama keluarga isterinya yang Katholik itu, memerhatikan kami bersolat.
Selesai solat didirikan, saya dikehendaki memberikan sepatah dua kata.
Aduh!
Apa yang mahu saya ucapkan? Di hadapan orang Irish itu? Katholik? Suasana sedih?
Saban hari, ada sahaja tugas baru yang tidak pernah berada di dalam jangkaan saya. Setiap hari adalah cabaran. Kemahuan dakwah dan khidmat tidak cukup. Saya perlu ada keberanian untuk melakukan apa yang perlu.
Just do it!
“Silakan Imam!” kata pengerusi majlis.
Tersentak saya daripada lamunan.
“Encik Mustafa, Puan Jenny, ahli keluarga dan rakan-rakan yang hadir. Hari ini adalah hari yang sedih buat semua. Sedih buat Encik Mustafa dan Puan Jenny, sedih untuk kita semua dan sedih untuk saya, seorang bapa kepada seorang anak kecil. Ia sedih untuk kita semua. Tetapi kesedihan itu mungkin boleh dikurangkan dengan berfikir tentang sesuatu yang gembira…” saya memulakan bicara.
Cuba untuk empati, dan memilih perkataan yang betul dalam keadaan emosi semua orang yang begitu rapuh.
“Di sisi Islam, setiap bayi yang lahir, tanpa mengira siapa bapa dan siapa ibunya, apa warna kulit dan di bumi mana kelahirannya, setiap bayi lahir suci. Penuh potensi untuk kehidupan. Mary meninggalkan kita ketika beliau belum mencapai usia baligh. Beliau suci dan dengan kesucian itu, beliau kita berada di tempat yang terbaik di sisi Tuhan. Dan jika kita biasa membayangkan bahawa anak-anak akan mengebumikan ibu bapa yang mati sakit tua, hakikatnya di dalam hidup ini boleh sahaja berlaku, ibu dan bapa yang menghantar anak pergi. Semua itu adalah cara Tuhan memberitahu kita, bahawa kita semua adalah milik-Nya” saya menyudahkan ucapan.
“Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat)” [al-Kahf 18: 44]
Ucapan ringkas saya itu mendapat tepukan yang positif daripada sekalian mereka yang hadir.
Saya menarik nafas lega. Dan dalam kelegaan itu, ungkapan sebenarnya adalah ALHAMDULILLAH.
“Bagaimana dengan pengebumian? Apakah kita mahu biarkan sahaja anak itu dikebumikan di tanah perkuburan Kristian?” bisik salah seorang ahli rombongan masjid yang hadir.
“Apakah salib yang bakal dipacak di atas keranda budak itu akan mengubah nasibnya di kubur? Semua itu bukan keutamaan kita. Berpeluang mengerjakan solat jenazahnya pun sudah merupakan nikmat yang besar buat kita. Jika pengebumian di kubur bukan Islam itu satu isu, serahkanlah ia kepada Encik Mustafa, bapanya. Apa yang penting, amalan si mati. Dan untuk almarhumah Mary, tiada apa yang perlu kita khuatirkan. Pengebumian untuk dia, bukan untuk kita!” saya menjawab.
Lelaki itu berpuas hati.
Beliau beredar meninggalkan dewan Funeral Home itu bersama kami.
Di dalam perjalanan pulang, fikiran saya berkecamuk. Antara sedih dan lega. Sedih memikirkan keadaan Mary. Tetapi lega Allah ‘mengambilnya’ semula pada usia semuda itu. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana Mary akan membesar dengan baik jika ibunya yang Kristian Katholik itu bersungguh dengan Islam, manakala bapanya yang Muslim itu pula, entah di mana Islamnya.
BEBERAPA HARI SELEPAS ITU
Pengalaman menyembahyangkan jenazah seorang anak kecil yang ibunya Kristian Katholik dan bapanya Muslim, adalah sesuatu yang tidak pernah berada di dalam bayangan saya semasa menerima perlantikan sebagai Imam di Belfast Islamic Centre. Saya tahu di Belfast memang ada sejumlah Muslim yang mengahwini Irish Kristian dengan peruntukan Syariah dalam perkahwinan Kitabiyyah. Apa yang sering merunsingkan saya adalah pada memikirkan nasib anak-anak daripada perkahwinan itu.
“Assalamualaikum, Imam” tiba-tiba Ahmad memanggil saya.
“Wa ‘alaikum al-Salaam. Silakan!” saya menjawab salam.
“ Ada seorang pemuda bernama Jonathan. Beliau mahu bertemu dengan Imam” jelas Ahmad.
Saya mempersilakan Jonathan masuk ke pejabat. Wajahnya seperti pernah saya lihat tetapi tidak pasti di mana.
“Imam tidak ingat saya, barangkali. Saya hadir di majlis penghormatan terakhir ke atas baby Mary minggu lalu. Saya sepupunya” Jonathan memperkenalkan diri.
“Oh begitu. Maafkan saya. Bagaimana Jenny dan suaminya?” saya bertanya.
“Mereka berada di dalam keadaan yang baik. Terutamanya ibu saudara saya, Jenny. Dia memang seorang yang cekal” terang Jonathan.
“Apa hajat saudara datang ke masjid ini? Insya Allah saya cuba membantu” saya terus kepada urusan utama.
“Semasa kami mendapat tahu Mary meninggal dunia, semua orang marahkan Jenny. Beliau menangguh-nangguhka n Baptism ke atas Mary sehingga Mary mati. Kami semua bimbang dengan keadaan Mary yang tidak dibersihkan daripada original sin dan ini menyulitkannya nanti untuk berinteraksi dengan Divine Life. Tetapi ucapan Tuan Imam selepas sembahyang itu mengubah segalanya. Saya terkejut apabila tuan katakan bahawa, menurut Islam Mary mati dalam keadaan yang bersih!” cerita Jonathan.
“Benar. Bukankah itu juga yang sepatutnya?” saya menyoal lagi.
“Ya, kami semua mahu percaya bahawa Mary suci. Susah sekali mahu membayangkan seorang yang kecil, suci dan bersih seperti Mary, mati sebagai manusia berdosa. Tetapi Islam menepati perasaan sebenar kami” ujar Jonathan lagi.
 
Saya tergamam.
 
Ucapan ringkas dan spontan saya tempoh hari amat hambar dan terlalu biasa buat saya. Rupa-rupanya impak ucapan itu besar kepada yang mendengarnya.
“Saya mahu belajar tentang Islam” kata Jonathan.
 
Masya Allah… benarlah Islam itu fitrah.
 
Kematian Mary, adalah untuk ‘melahirkan semula’ Jonathan, seorang anak muda.
Jonathan, selamat datang ke agama fitrah!
 
Hebat sungguh perancangan- Mu!
 
 
ABU SAIF @ www.saifulislam. com
68000 AMPANG












saya: Subhanallah. Dalam sedar tak sedar, mereka (yakni orang2 bukan Islam) mencari-cari kebenaran dan kebaikan, namun mereka tidak pernah jumpa. Kita akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak atas ketidakjumpaan mereka kepada kebenaran kerana sebagai seorang Muslim, kita bertanggungjawab menyebarkan al-haq/kebenaran, iaitu Lailahaillallah wamuhammadarrasulullah.

"Cemana ni, depa cari kebenaran, hangpa dok buat apa? Awat tak sebaqkan apa yang hangpa ada tu. Cuba hangpa ada kat tempat depa, dalam kekafiran, hangpa rasa apa? Mati dalam kekafiran, masuk neghaka. Tak rasa besyukuq ka Allah bagi hangpa Islam? Tu pon tak gheti nak cukupkan solat, zakat apatah lagi. Ni nak habaq mai, Allah habaq dalam Quran Allah boleh gantikan hangpa dengan orang lain kalau Dia mau. Hang jaga."

wallahua'alam